Suatu ketika dahulu, hidupku penuh kesenangan dan kemewahan. Tiada gundah, tiada gulana bersarang dalam jiwa. Ku jalani hari-hari indah dengan dilimpahi kasih sayang daripada kedua ibu bapa. Tambahan pula aku merupakan anak tunggal kesayangan mereka.
Meningkat remaja, aku telah dihantar menyambung pelajaran ke Kanada meski pun usia baru mencecah 14 tahun. Setelah tamat pengajian tahap ijazah di sana, aku meneruskan pula ke peringkat sarjana dalam jurusan yang sama iaitu Pengurusan Perniagaan di Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Setelah menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang, aku pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak. Berbekalkan pengetahuan yang dimiliki, aku diberi mandat menguruskan beberapa syarikat milik keluarga. Semuanya tampak berjalan lancar dan aku gembira dengan apa yang dilakukan.
Namun, segala-galanya berubah pada satu hari Jumaat. Pada hari keramat itu, aku dikehendaki menghadiri mesyuarat di Putrajaya. Aku kagum melihatkan kecantikan kawasan sekitarnya terutamanya Masjid Putrajaya. Oleh sebab aku tiba agak awal, hatiku terdetik untuk melihat masjid itu secara lebih dekat. Seolah-olah ada satu tarikan yang akhirnya membawa aku ke sana.
Sedang aku melihat keadaan sekeliling sambil memuji-muji kecantikkannya, muncul seorang wanita dan bertanya sama ada aku ingin menunaikan solat. Mungkin beliau keliru melihatkan wajah ku persis orang Melayu. Tanpa berfikir panjang aku terus mengiyakannya. Lantas wanita itu mengajak aku mengikutinya mengambil wudhuk.
Waktu itu, terus terang aku sendiri tidak faham apa maknanya wudhuk. Oleh sebab aku sudah bersolek, aku hanya mencuci tangan. Aku hanya berdiam diri dan memerhati wanita itu membersihkan diri sehingga selesai. Dengan tidak semena-mena aku mengikut setiap langkah wanita itu sehinggalah menunaikan fardhu solat. Aku menoleh ke kanan dan ke kiri kerana tidak tahu bagaimana mengerjakannya. Awalnya aku menyangka tiada tertib atau langkah-langkah yang perlu dituruti. Lantas aku terus sujud namun kemudiannya tersedar. Secara perlahan-lahan aku kembali mengikuti tertib jemaah lain.
Setelah selesai, wanita berkenaan menyuruh ku meletakkan telekung di rak yang disediakan. Hanya beberapa saat aku menoleh semula, wanita itu hilang. Puas aku bertanya dan mencari wanita itu tetapi tiada siapa yang tahu. Kata mereka tiada wanita lain yang mereka lihat berada di sampingku sepanjang dalam masjid itu.
Enggan berfikir lagi, aku terus keluar berjalan-jalan pula di kawasan sekitar masjid. Entah mengapa aku terlalu menyukai rekaan dan suasana di masjid ini. Rasanya begitu tenang dan nyaman sekali. Sukar digambarkan dengan kata-kata akan perasaanku pada ketika itu.
Pulang semula ke Kuching, aku terus menceritakan pengalamanku menjejakkan kaki ke masjid kepada bapa saudara. Dia amat terkejut dan marah sambil memberi amaran agar aku tidak menceritakannya kepada ayah. Tidak timbul perasaan takut pada diri ku pada saat itu bahkan aku menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke masjid itu lagi.
Setelah menyambung pengajian di peringkat sarjana, aku bercadang untuk menyambung pula pelajaran ke peringkat PhD. Oleh itu aku sering kali meluangkan waktu menelaah di perpustakaan yang kebetulan terletak berhadapan pejabat Majlis Agama Islam Kuching.
Entah bagaimana kaki ku terus melangkah ke sana dan aku terus menyatakan niat untuk memeluk agama Islam. Namun, ia tidak semudah yang disangka. Pegawai agama itu bertanya mana saksiku? Aku keliru, di mana harusku cari saksi? Aku tidak punya teman beragama Islam apatah lagi mereka yang mahu membantu ku menukar agama.
Aku cuba menghubungi beberapa orang namun semuanya gagal. Akhirnya seorang wanita sanggup menjadi saksi dan aku melafazkan kalimah syahadah pada 4 Julai 2005 pada usia 30-an. Disebabkan bimbang diketahui ibu dan bapa yang berpegang kuat pada anutan asal keluarga, aku hanya mendiamkan diri dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Pada suatu petang, aku mendapat panggilan telefon dari rumah yang menyuruh ku pulang. Aku tidak terkejut kerana aku beranggapan mungkin itu panggilan minum petang kerana kami sering melakukannya bersama. Apabila sampai, aku melihat beberapa ahli keluarga sedang berbual-bual.
Melihatkan tiada kerusi kosong, aku pun bertanya. Namun pertanyaanku diabaikan oleh mereka. Sehingga pada suatu tahap aku meninggikan sedikit suara. Tersentak melihat keadaan itu, ayah menyuruh pembantu rumah menjawab pertanyaanku sambil berkata aku bukan anaknya sebaliknya anak kepada Abdullah.
Bermula dari situ barulah aku sedari ahli keluarga telah mengetahui pengislamanku. Ayah kemudiaannya menghalau dan meminta semua yang diberikannya kepadaku termasuk kunci kereta dan kad kredit. Aku keluar rumah sehelai sepinggang selain telefon bimbit dan wang syiling 80 sen.
Aku tidak terus pergi sebaliknya masih tegar menunggu di hadapan pagar rumah. Apa yang kuharapkan ialah hati ayah akan sejuk dan memujuk ku kembali. Namun, setelah 2 jam tanpa sebarang perubahan, baru aku sedari ayah benar-benar nekad dengan keputusannya memutuskan silaturahim kami anak beranak. Aku kemudian menghubungi seorang teman dan meminta keizinannya untuk tumpang bermalam.
Selepas kejadian itu, aku sudah tidak punya sesiapa kerana ayah dan ibu mengambil keputusan berhijrah ke United Kingdom. Semua anggota keluarga dan teman-teman rapat juga menjauhkan diri. Sejak itu jugalah aku berdikari dalam serba kekurangan.
Malah, perancanganku untuk mendapatkan pekerjaan bagus juga terbantut apabila ayah terlebih dahulu bertindak menggunakan pengaruhnya kepada universiti tempat ku belajar agar tidak mengeluarkan salinan sijil ijazah dan sarjana ku.
Selain dibuang keluarga, tidak dinafikan banyak cabaran lain yang terpaksa aku hadapi, Disebabkan tidak mempunyai pekerjaan tetap, aku pernah terpaksa ikat perut sehingga larut malam sehingga memaksa aku menebalkan muka meghubungi seorang teman untuk meminjam wang membeli makanan daripadanya.
Pernah juga cek bantuan yang kuterima hilang. Setelah beberapa bulan membuat aduan, aku cuba mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengannya, sebaliknya apa yang ku terima adalah hamburan kata-kata yang tidak menyenangkan. Walaupun jumlah wangnya kecil, namun ia amat bermakna buat orang sepertiku.
Namun, dugaan lebih mencabar apabila ada yang mahu menarik ku kembali ke agama asal. Walaubagaimanapun, aku sudah nekad untuk mempertahankan akidah dan pegangan agama baru yang ku pilih ini.
Petikan daripada: Majalah 'Keluarga' November 2009
Salam Aidiladha